Friday, September 14, 2007

Mari kita ertikan hidup ini..

Kehidupan insan didalam dunia yang fana ini adalah sesuatu yang sementara. Suatu yang tidak kekal bahkan tidak lama sebenarnya. Namun yang menjadikan manusia merasakan yang mereka akan hidup lebih lama bahkan hajat mereka untuk selamanya ialah kerana angan-angan kepada kemungkinan kehidupan yang lebih baik. Angan-angan akan menjadi lebih senang, lebih kaya, lebih cantik, lebih bernasib baik dan segala kemungkinan baik yang di impikan oleh setiap insan.

Hidup ini juga sebenarnya sangat singkat berbanding dengan persiapan manusia kepada kehidupan, apatah lagi persiapan menuju kehidupan yang kekal abadi. Kehidupan yang hanya boleh disediakan bekal semasa di dunia ini. Maka ada dua persiapan, atau dua misi kehidupan manusia ini. Iatu berusaha untuk menyempurnakan kehidupan didunia dan mempersiapkan diri untyuk berbekal kepada kehidupan yang lebih lama, dan lebih kekal abadi. Dengan segala keleperluan ini, manusia Cuma mempunyai 24 jam sehari , 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan 1 bulan setahun, dan manusia cuma boleh hidup dalam jangka hayat selama lebih kurang 50 hingga 70 tahun. Itupun jika di izinkan oleh Allah. Bahkan ramai yang lebih awal dari itu, sudah dipanggil balik oleh Allah tanpa amaran dan tanpa bekalan yang cukup untuk menghadapi segala melapetaka maut dan hari kemudian.

Bagi kita yang tinggal, pengajaran dari maut yang menimpa orang lain saban hari dalam pelbagai cara dan keadaan menjadi amaran kepada kita bahawa giliran kita akan sampai jua akhirnya. Cuma persoalan bila, dimana dan bagaimana sahaja yang menjadi tandatanya. Oleh yang demikian dalam kesempatan kehidupan yang berbaki ini yang tentunya lebih singkat dari hidup yang telah kita lalui, mari kita ertikan kehidupan yang berbaki ini dengan erti yang sebenarnya, dan berbeza dari kefahaman biasa masyarakat yang seakan memahami hidup dan mati serta kehidupan selepas mati sebagai retorik dan proses tabi’e biasa yang akan dilalui oleh sesiapa sahaja dan tidak memberikan implikasi apa-apa. Ungkapan “Taka mengapa kita sudah Islam”, “Tuhan tahu yang kita ni sudah baik”, “Saya dah puas hati beribadah, dan sudah siap untuk mati”, “bila dah pencen dan tua kita taubatlah”, “bila balik haji nanti kita berubahlah”, dan lain-lain perkataan yang membayangkan sebahagian dari masyarakat tidak begitu faham diri mereka dan tidak mengenali Allah dalam ertikata yang sebenarnya serta tidak faham Islam sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah, para sahabat dan para solefus-soleh yang sanggup menggadai seluruh kehidupan demi meraih redha Allah.s.w.t.

Firman AllahYang bermaksud:

Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

(Surah Al-Jaathiyah, Ayat: 24).

Bersambung…

Tuesday, September 11, 2007

Merasai Hidup Bertuhan

Petua kehidupan yang dilupakan dalam kehidupan ketika kesibukan merantai dan membelenggu serta menjadikan kita abdi kepada kehidupan. Sedangkan kehidupan ini hadiah dan anugerah dari tuhan untuk manusia bersiap sedia dengan bekalan menuju alam abadi, namun manusia terbuai dan terleka dengan segala kenikmatannya yang memperdaya.

Sungguh indah hidup ini, terutama bagi yang mendapat apa yang dicitakan oleh keinginan didapati walau apa cita-citanya dan bagaimana mendapatnya serta untuk tujuan apa cita-cita itu. Namun kita hanya akan menyedari hakikat kehidupan bila nilai kehidupan sudah tiada erti lagi buat diri, bila kekayaan tidak dapat membeli kesakitan, bila kelapangan tidak dapat membeli hidayah, bila taqdir tuhan tidak dapat dirunding lagi... berilah erti kehidupan kita.